Salah Faham: Kereta Rosak Boleh Claim Insurans Kereta?

Tips Insurans · · 4 min bacaan

Ini antara salah faham yang paling kerap kami dengar daripada pemilik kenderaan: "Kalau kereta saya rosak tiba-tiba tengah jalan, boleh tak claim insurans?" Jawapan ringkasnya — tidak boleh. Tetapi ada satu bahagian yang ramai orang tak tahu, iaitu khidmat towing percuma. Jom kita jelaskan satu persatu.

Kenapa kerosakan biasa tidak boleh diclaim?

Insurans atau takaful kenderaan direka untuk melindungi anda daripada kerugian akibat kemalangan, kecurian dan kebakaran — bukan kerosakan biasa yang berlaku disebabkan haus, masalah mekanikal atau kurang penyelenggaraan. Bila enjin overheat, gearbox rosak, bateri mati atau radiator bocor tengah jalan, itu dikira sebagai "wear and tear" (kerosakan biasa) dan ia berada di luar perlindungan polisi.

Sebab itulah penyelenggaraan berkala (servis enjin, tukar minyak, periksa bateri dan tayar) adalah tanggungjawab pemilik, bukan syarikat insurans.

Jadi, bila boleh claim insurans kereta?

Anda hanya boleh membuat tuntutan apabila kerosakan berlaku akibat kejadian yang dilindungi polisi, antaranya:

  • Kemalangan jalan raya (langgar kenderaan lain, objek, atau terbabas).
  • Kereta dicuri atau dipecah masuk (untuk polisi komprehensif).
  • Kebakaran kenderaan.
  • Kerosakan akibat banjir, ribut atau special perils — jika anda ada tambah perlindungan ini.

Dalam kes-kes ini, kerosakan datang daripada satu kejadian luar yang tidak dijangka — bukan daripada keadaan dalaman kenderaan yang merosot dari masa ke masa. Itulah perbezaan utama.

Berita baik: towing percuma masih tersedia

Walaupun kerosakan biasa tidak boleh diclaim, anda tetap tidak terkandas. Kebanyakan polisi insurans dan takaful kenderaan menyediakan khidmat towing (tunda) dan bantuan tepi jalan secara percuma sebagai sebahagian daripada manfaat polisi — biasanya sehingga jarak tertentu (contohnya 50km atau 100km) dari lokasi kereta rosak.

Penting: Khidmat towing percuma bergantung kepada polisi insurans/takaful anda. Setiap syarikat dan pelan mempunyai had jarak dan syarat yang berbeza. Sila semak terma polisi anda atau hubungi kami untuk pengesahan sebelum bergantung sepenuhnya kepada manfaat ini.

Jadi bila kereta anda rosak tengah jalan, daripada menanggung kos tunda sendiri yang boleh mencecah ratusan ringgit, hubungi talian bantuan kecemasan yang tertera pada sijil polisi anda terlebih dahulu. Mereka boleh menghantar trak tunda ke lokasi anda.

Ringkasan

  • Kereta rosak biasa (mekanikal / wear and tear) — TIDAK boleh claim insurans.
  • Kerosakan akibat kemalangan, kecurian atau kebakaran — BOLEH claim (ikut jenis polisi).
  • Towing / tunda percuma — biasanya tersedia, tetapi bergantung kepada polisi anda.

Tidak pasti apa yang dilindungi oleh polisi anda atau berapa jarak towing percuma yang anda layak? Hubungi kami dan kami bantu semak perlindungan anda serta sediakan sebut harga pembaharuan yang sesuai.

💬 Dapatkan Sebut Harga Pembaharuan →

Sedia untuk perbaharui insurans?

Dapatkan sebut harga takaful percuma dalam beberapa minit.

Dapatkan Sebut Harga